AL-JAMA'AH (الجماعة) dan Penjelasan Hadits - haditsnya

PENGERTIAN AL-JAMAAH


Al-Jamaah sebagai yang warid menurut pengistilahan Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: Makna Jamaah di segi bahasa: Dari kata جمع. Dikatakan: جمع المتفرقة“Menyatukan yang berpecah-belah”. Danالجماعة ضد الفرقة “Jamaah lawannya berpecah-belah”.[1]
Lafaz jamaah terdapat di beberapa hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
يَدُ الله مَعَ الْجَمَاعَة
“Tangan Allah bersama Jamaah”.[2]
كُلُّهَا فِى النَّارِ اِلاَّ الْجَمَاعَة
“Semuanya di neraka kecuali satu iaitu jamaah”.[3]
كُلُّهَا فِى النَّار اِلاَّ وَاحِدَة وَهِيَ الْجَمَاعَة.
“Semuanya di neraka kecuali satu iaitu al-Jamaah”.[4]
Al-Jamaah juga secara bahasa diambil dari kalimah (الجمع) al-Jam’u iaitu:
Pertama: Al-Jamaah bermaksud:
(1). Mengumpulkan atau menyatu-padukan yang berpecah-belah (bercerai-berai).[5]
(2). Bersatu dan lawannya berpecah-belah.
(3). Perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama”.[6]
Kedua: Golongan yang terbesar atau yang paling ramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam.[7] Termasuk juga para ahli ilmu, imam-imam mujtahid[8] dan para awliya.
Ketiga: Golongan para ulama yang mujtahid.[9]
Keempat: Setiap Umat Islam yang bersatu di bawah satu amir (pemerintah Islam).[10]
Kelima: Secara khususnya ialah para sahabat Nabi Muhammad.[11]Pengertian ini diambil dari sabdanya:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ
“Hendaklah kamu kembali kepada sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk”.[12]
Keenam: Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad[13] walaupun seorang diri sebagaimana atsar shahih di bawah ini:
اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
“Al-Jamaah: Iaitu yang serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku”.[14]
Berkata Imam Syatibi rahimahullah berkaitan hadis di atas:
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak menjelaskan firqah (golongan) yang berjaya kecuali menunjukkan sifat mereka. Tidak dikatakan misalnya: “Aku dan sahabat ku”. Tetapi disebut sifatnya (manhajnya), iaitu: “Apa yang ada pada aku (seperti manhaj aku) dan para sahabatku”. Tidak diragukan lagi bahawa para sahabat termasuk apa yang disifatkan oleh baginda (tentang kesempurnaan manhajnya. Pent)”. [15]
Beliau meneruskan lagi:
“Ini bermakna kemenangan tidak dikhususkan kepada sesiapa yang telah berlalu sebaliknya meliputi setiap yang mendatangkan (mengikut/mencontohi) sifat-sifat golongan yang berjaya sehinggalah ke Hari Kiamat”.[16]
Contoh Jamaah yang berjaya tentulah Jamaah Nabi dan para sahabat baginda sebagaimana disebut:
اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ عَلَى مِثْلِ مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَاَصْحَابِيْ
“Al-Jamaah: Ia adalah yang berada di atas contoh (seperti) apa-apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya pada hari ini”.[17]
Berkata Abu Syamah rahimahullah:
“Setelah datang perintah agar sentiasa dalam jamaah maka yang dimaksudkan dengan jamaah ialah sentiasa komitmen (iltizam) mengikut kebenaran dan berjamaah, sekalipun yang berpegang dengan kebenaran itu sedikit dan yang menentangnya ramai. Kerana kebenaran yang sebagaimana pada jamaah pertama dari golongan para nabi dan para sahabat tidak pernah terkesan walaupun melihat kepada banyaknya ahli batil semasa atau selepas mereka”.[18]
Kenyataan Abu Syamah amat bersesuaian dengan apa yang dijelaskan oleh Ibn Masoud radiallahu ‘anhu:
اِنَّ جُمْهُوْر النَّاسِ فَارِقُوْا الْجَمَاعَة ،وَانَّ اَلْجَمَاعَة مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.
“Sesungguhnya kebanyakan manusia akan meninggalkan Jamaah, sesungguhnya Al-Jamaah ialah apabila mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan).”[19]
Berkata Abu Syamah rahimahullah:
“Apabila telah datang perintah agar komitmen kepada al-Jamaah, yang dimaksudkan dengannya ialah beriltizam pada al-Hak (kebenaran) dan mengikutinya, walaupun yang berpegang kepada kebenaran amat sedikit, yang meninggalkannya amat banyak. Kerana kebenaran yang berada bersama pada Jamaah yang pertama bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta para sahabat radiallahu ‘anhum tidak pernah melihat kepada ramainya ahli batil sesudah mereka”.[20]
Berkata juga Naim bin Hammad:
اَي اِذَا فَسَدَتِ الْجَمَاعَة ، فَعَلَيْكَ بِمَا كَانَتْ عَلَيْهِ الْجَمَاعَة قَبْلَ اَنْ تَفْسَدَ ، وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ ، فَاِنَّكَ اَنْتَ الْجَمَاعَةَ حِيْنَئِذٍ.
“Iaitu apabila telah rosak sekalian jamaah maka bagimu mengikut sebagaimana jamaah yang belum rosak sekalipun engkau seorang diri kerana bahawasanya engkau dikala itu dalam jamaah”.[21]
Oleh yang demikian Ibnu Qaiyim berkata:
“Keseluruhan manusia dizaman Imam Ahmad bin Hambal telah tergelincir hatinya (شذ) kecuali sedikit yang masih di atas kebenaran maka yang sedikit itulah yang dalam Jamaah. Yang diketika itu para kadi (gabenor/pembesar), para mufti dan Khalifah mereka semua telah tergelincir (akidah mereka) hanya Imam Ahmad seorang sahaja dalam Jamaah”.[22]
Imam Ahmad, pada zamannya dianggap dalam Jamaah walaupun keseorangan dalam menegakkan kebenaran, yang mana beliau mempertahankan kebenaran bahawa “Al-Quran itu adalah Kalamullah bukan makhluk”. Beliau ditentang oleh seluruh kadi, mufti dan Khalifah yang sudah rosak pemahamannya kerana meyakini bahawa al-Quran itu makhluk. Menurut pengertian dan hakikat Jamaah maka Imam Ahmad tetap dalam Jamaah kerana beliau berada di dalam kebenaran dan mempertahankannya. Dengan ini jelaslah bahawa kebenaran itu adalah al-Quran dan as-Sunnah. Al-Jamaah adalah sesiapa yang kembali kepada kebenaran (al-Quran dan as-Sunnah) mengikut manhaj para sahabat kerana para sahabat sentiasa memelihara dan mengikut kebenaran yang diturunkan kepada Rasullullah yang berupa al-Quran dan as-Sunnah. Allah berfirman:
اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.
“Kebenaran itu dari Tuhanmu sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu”.[23]
Dari ayat inilah Ibn Qaiyim rahimahullah berpendirian bahawa Imam Ahmad rahimahullah adalah contoh ketabahan ulama yang mempertahankan Jamaah walaupun kebanyakan dari mereka telah menyeleweng. Ini ditegaskan oleh beliau dalam ucapannya:
“Telah menyimpang manusia semuanya pada zaman Imam Ahmad bin Hambal kecuali beberapa orang sahaja yang masih dalam Jamaah. Dimana para kadi dimasa itu dan para mufti serta khalifah dan pengikut mereka semuanya telah menyimpang namun Imam Ahmad bersedirian dalam Jamaah”.[24]
Antara penafsiran yang paling tepat (rajih) tentang “Jamaah” ialah:
“Mereka yang tergolong dari kalangan sahabat kerana sentiasa di atas kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman salaf yang paling hak”.[25]
Dengan ini sesiapa yang mengikut manhaj para sahabat dengan baik maka ia digolongkan sebagai al-Jamaah. Ada pun antara nama-nama jamaah yang diberikan namanya oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:
1- Ahli al-Hadis atau Ahli al-Athar.[26]
Digelar Ahli Hadis kerana beramal dan menyibukkan diri mereka dengan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Dan digelar Ahli Athar kerana mereka para sahabat Nabi yang paling memahami hadis, mengamalkan, paling mengetahui untuk membezakan antara yang hak dengan yang batil dan sentiasa berhujjah dengan hadis.
Berkata Ibn Qaiyim rahimahullah:
“Ahli Hadis adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnul Mubarak: Aku dapati agama berada pada ahli hadis, percekcokan pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidhah dan banyak berhelah pada Ahli ar-Rakii”.[27]
Berkata Abdul Qadir Jailani rahimahullah:
“Sesungguhnya Ahli Sunnah, mereka tidak mempunyai nama kecuali nama yang satu iaitu Ashabul Hadis”.[28]
2. Firqah an-Najiyah, Firqah al-Mansurah atau At-Taifah an-Najiyah, at-Taifah al-Mansurah. Berkata Ibn Taimiyah:
“Apa yang dikatakan Firqah an-Najiyah ialah pengikut para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ia adalah syiar (Ahli sunnah). Dinamakan Firqah an-Najiyah kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah”.[29]
3. Ahli Ittiba’. Dinamakan Ahli Ittiba’ kerana berittiba’ (mentaati) al-Quran, as-Sunnah serta athar para sahabat.
3. Al Guraba’ (الغرباء) bermaksud: “Golongan yang aneh, asing, luar biasa, dagang atau sedikit”:
بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ.
“Islam itu bermula dengan aneh maka akan kembali menjadi aneh maka berbahagialah orang yang aneh”.[30]
عَنْ سُفْيَانِ الثَّوْرِيِّ اَنَّهُ قَالَ: اِسْتَوْصُوْا بِاَهْلِ السُّنَّةِ خَيْرًا فَاِنَّهُمْ غُرَبَاءُ
“Sufyan ath-Thauri berkata: Berwasiatlah kepada Ahli Sunnah dengan kebaikan kerana mereka ghuraba”.
Paling tepat dinamakan al-Jamaah ialah: “Mereka yang termasuk dalam nama-nama yang berkaitan dengan Jamaah Islamiyah yang mengikuti manhaj para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dengan baik, terutama para ulama mujtahid yang berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah”.[31]Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul diakhir zaman sahabat.
Imam Malik rahimahullah ketika ditanyakan kepada beliau siapa Ahli Sunnah, beliau menjawab:
اَهْلُ السُّنَّةِ الَّذِيْنَ لَيْسَ لَهُمْ لَقْبٌ يُعْرَفُوْنَ بِهِ ، لاَ جَهْمِيُّ وَلاَ قَدَرِيٌّ وَلاَرَافِضِيٌّ.
“Ahlu Sunnah adalah mereka yang tidak memiliki gelaran tertentu yang mereka dikenali dengan gelaran tersebut. Mereka bukan Jahmiyah, bukan Qadariyah dan bukan Rafidhah”.[32]
Selain yang bermanhaj Salaf, mereka adalah Ahli Bid’ah. Keterangan ini diambil dari athar Ibn Abbas apabila menafsirkan Firman Allah:[33]
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ.
“Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram”.[34]
Menurut Ibn Abbas radiallahu ‘anhu:
“Orang yang putih berseri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah ahli bid’ah atau orang yang sesat”.[35]
Dan sesiapa yang meninggalkan manhaj Salaf as-Soleh adalah firqah yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal-Jamaah kerana Rasulullah bersabda:
لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَة.
“Akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Al-Jamaah”.[36]
Dalil yang menjelaskan hanya yang berpegang kepada al-Quran, as-Sunnah, athar dan bermanhaj Salaf as-Soleh berhak dinamakan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berdasarkan hadis:
مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَاَصْحَابِيْ.
“(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku hari ini dan para sahabatku”.[37]
Diperintahkan agar bermanhaj akidah dan amal seperti manhajnya para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in kerana mereka para salaf yang wajib diikuti manhajnya. Firman Allah:
وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ
“Hendaklah kamu bersama orang-orang siddiqin”.[38]
Yang dimaksudkan syuhada, solehin dan siddiqin adalah para sahabat kerana mereka adalah golongan Salaf sebenar. Dan bermanhaj Salaf adalah suruhan al-Quran. Firman Allah:
وَاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ
“Ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu”.[39]
Mereka yang kembali ke jalan Allah tentulah Rasulullah dan para sahabat kerana mereka mematuhi firman Allah:
اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَا تَذَكَّرُوْنَ.
“Ikutlah oleh kamu apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikit dari kamu mengambil pelajaran”.[40]
“Mengikut apa yang telah diturunkan” ialah kembali kepada wahyu. Wahyu ialah Al-Quran dan sunnah Rasulullah berdasarkan firman Allah:
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى
“Tiadalah yang diucapkannya itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu wahyu yang diwahyukan”.[41]
“Adapun syiar Ahli Sunnah wal-Jamaah itu ialah mengikuti (manhaj) Salaf as-Soleh dan meninggalkan segala bentuk bid’ah serta perkara-perkara baru yang dimasukkan ke dalam agama”.[42]
——————————————————————
[1]. Lihat: (1). Lisan al-Arabi 8/53 (مادة جمع).
Lihat: (2). مجموع فتاوى 3/157 Ibn Taimiyah.
[2]. H/R Turmizi dalam Sunannya 6/334. كتاب الفتن – باب فى لزوم الجماعة
Diriwayatkan oleh Hakim dalam Mustadrak 1/115, 116 كتاب العلم
[3] . H/R Hakim dalam Mustadrak 1/128. Kitabul Ilm. Disahihkan
oleh Ibn Majah sebagaimana menurut al-Albani 2/364. Kitab al-
Fitn.
[4] . H/R Hakim dalam Mustadrak 1/128. Kitab al-Ilm.
[5]. Lihat: (1). منهج اهل السنة والجماعة 1/20. Khalid bin Abdul Latif.
(2). القاموس المحيط . مادة : (حمع) Hlm. 917. Al-Fairuz Abadi.
[6]. Lihat: (1) مجموعة فتاوى Jld. 3. Hlm. 157.
(2). المعجم الوسيط . مادة : (جمع) Jld. 1. Hlm. 135.
[7]. Lihat: H/R At-Tabari dalam “Al-Kabir” (1/320).
[8] . Inilah yang diutamakan oleh Imam Bukhari, lihat dalam Sahihul
Bukhari 13/316. Fathul Bari bab: وكذالك جعلناكم امة وسطا Dan
lihat: Sunan at-Turmizi. 6/335.
[9]. (1). Ini kata-kata ‘Amru bin Qais dalam الابانة. 2/492. Ibn Battah
(2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328).
(3). Turmizi dalam sunnannya (4/467).
[10]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 263. As-Syatibi. Fathul Bari 13/38.
[11]. Inilah yang dijelaskan oleh al-Barbahari dalam شرح السنة Hlm. 22.
[12]. H/R Ahmad 4/162. Abu Daud 5/13. Turmizi 7/437 dan Ibn
Majah 1/15.
[13]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. Al-Barbahari.
[14]. Lihat: تحفة الاحوذى 7/399-340. Berkata Turmizi: Hadis ini hasan
dan gharib. Lihat: سلسلة الاحاديث الصحيحة No. 203 atau 1192.
Syeikh Al-Albani.
[15] . Lihat: الاعتصام 2/287-289. As-Syatibi.
[16] . Ibid.
[17] . As-Sahihah No. 203 dan 1492.
[18] . Lihat: الباعث على انكار البدع والحوادث hlm. 22. Abu Syamah.
Tahqiq Uthman Ahmad ‘Ambar. Cetakan pertama Mesir.
[19]. Lihat: Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدع Hlm. 22.
Abu Syamah. Disahihkan oleh Nasruddin al-Albani.
Lihat: الباعث على انكار البدع والحوادث hlm. 91-92. Tahqiq Masyhur
bin Hasan Salman.
Lihat: Syarah Usul iktiqad. No. 160. Al-Lalikaii.
[20] . Lihat: الباعث علىابكارالبدع والحوادث Hlm. 22 Abu Syamah
Ditahqiq: Uthman Ahmad ‘Anbar. Cetakan Pertama 1978 Mesir.
[21] . Lihat: اعلام الموقعين 3/397. Ibnu Qaiyim.
[22] . Ibid.
[23]. Al-Baqarah, 2:147.
[24] . Lihat: اعلام الموقعين 3/397. Ibnul Qaiyim.
[25]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى. 1/ 23.
[26]. Lihat: مقالات الاسلاميين 1/290 Abu al-Hasan Ali Bin Ismail al-Asy’ari
[27]. Lihat: Bahaya Taqlid Buta & Ta’sub Mazhab. Hlm. 81. Rasul
Dahri.
[28]. Lihat: الغنية لطالبي طريق الحق 1/71 Abdulqadir Jailani. Darul Ma’rifah.
Bairut. Cetakan kedua.
[29]. Lihat: منهاج السنة Jld. 3. Hlm. 457. Ibn Taimiyah.
[30]. H/R Muslim.
[31]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz 1
Hlm.23.
[32] . Lihat: الانتقاء hlm. 35. Ibn Abdil Barr.
[33]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى 1/23.
[34] . Ali-Imran, 3:106.
[35]. Ibid.
[36]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadis ini disahihkan oleh al-Haitimi
dalam (الزوائد). Disahihkan juga oleh al-Iraqi di dalam kitab
(تلخيص الاحياء) .
[37]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).
[38]. Taha, 20:119.
[39] . Luqman, 31:15.
[40] . Al-Araf, 7:3.
[41] . An-Najm. 54:3-4.
[42] . Lihat: الحجة فى البيان المحجة 1/364. Al-Asbahani.




Makna Hadis-Hadis Tentang “Al-Jama’ah”


HADIS PERTAMA

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا خَطَبَ بِالْجَابِيَةِ، فَقَالَ: قَامَ فِيْنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَنْ أَرَادَ مِنْكُمْ بَحْبُوْحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ

Makna Hadis:
Dari Abdullah bin Umar berkata: Umar bin Khattab radhiallahu ‘anhuma pernah berkhutbah di Al-Jabiyah seraya berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berdiri di hadapan kami dan bersabda: “Barangsiapa dari kalian menginginkan tinggal di tengah-tengah syurga, maka hendaklah berpegang teguh kepada Al-Jama’ah, kerana syaitan bersama seorang (sendirian) dan dia dari dua orang, dengan lebih jauh.
Takhrij Hadis
Hadis ini diriwayatkan oleh:
1. Tirmizi, hadis no. 2254 dengan syarh Tuhfatul Ahwadzi.
2. Ahmad dalam Musnadnya juz I, hal. 18.
3. Hakim dalam Mustadrak juz I, hal. 114.
4. Baihaqi dalam Sunanul Kubra juz VII, hal. 91.
Sanad hadis ini semuanya dari jalan Muhammad bin Sauqah dari Abdullah bin Dinar dari Abdullah bin Umar dari Umar bin Khaththab. Tirmidzi dan Hakim menshahihkannya dan disepakati oleh Imam Dzahabi.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah (no. 2363), Ahmad (I/26), Abu Daud At-Thayalisi (no. 31), dan Ibnu Hibban (no. 2282), dari jalan Jarir dari Abdul Malik bin Umair dari Jarir dengan lafaz: Umar berkhutbah di hadapan manusia di Al-Jabiyah… sehingga akhir hadis. (Al-Hadis).

Syaikh Salim Al-Hilali berkata: Sanadnya SAHIH. Hakim menyatakan bahawa di dalamnya ada perawi yang cacat, iaitu pada Abdul Malik bin Umair. Kemudian Hakim membawakan jalan yang lain dari Sa’ad bin Abi Waqqash, berkata: Umar berdiri di Al-Jabiyah…. sehingga akhir hadis (Al-Hadis). Kemudian Hakim mensahihkannya dan disepakati oleh Imam Dzahabi.

Syaikh Salim berkata: “Dalam sanadnya ada Muhammad bin Muhajir bin Mismar. Tidak jelas bagiku, siapa dia. Jika yang dimaksud adalah Muhammad bin Muhajir al-Quraisyi maka dia orangnya lemah. Jika selain dia maka aku tidak tahu riwayat hidupnya. Tapi secara keseluruhan, hadis ini SAHIH.” (Al-I’tisham II/769, Asy-Syatibi, tahqiq: Salim bin ‘Ied Al-Hilali).

Mufradat Hadis
بَحْبُوْحَةُ yakni: “Di tengah dan yang terbaik.” (Gharibul Hadits, Abul Faraj al-Jauzi juz I hal. 56 dan An-Nihayah fi Gharibil Hadits, Abus Sa’adat juz I hal. 98).
فإنّ الشّيطان مع الواحد Yakni: “Bersama orang yang keluar dari ketaatan kepada amir dan memecah Al-Jama’ah.” (Tuhfatul Ahwadzi Syarh Jami’ At-Tirmidzi, Al-Hafiz Muhammad bin Abdurrahman Al-Mubarakfuri, juz VI hal. 321).

Imam At-Thayyibi ketika menerangkan makna “dan dia dari dua orang dengan lebih jauh” berkata: “Yakni (syaitan) akan lebih jauh lagi dan kalau tiga orang maka bertambah jauh lagi.” (Tuhfatul Ahwadzi, juz VI hal. 321).

Syarah Hadis
Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Musa Asy-Syatibi menyatakan:
“Para ulama berselisih pendapat tentang makna Al-Jama’ah yang ada dalam hadis tersebut, menjadi lima pendapat:

Pertama: Al-Jama’ah ialah Sawadul A’zham (kelompok manusia yang besar sekali jumlahnya, mereka berpegang kepada agama Islam dan jauh dari firqah sesat, ed.)
Dan inilah yang disebutkan oleh Abu Ghalib rahimahullah bahawasanya Sawadul A’zham adalah orang-orang yang selamat dari berbagai firqah (perpecahan). Maka setiap urusan agama yang mereka sepakati itulah al-haq (kebenaran). Barangsiapa menentang mereka kemudian dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah. Sama saja, baik dalam masalah syari’at atau menentang terhadap imam dan penguasa mereka. Termasuk yang berpendapat demikian adalah Abu Mas’ud Al-Anshari dan Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhuma berkata: “Kalian wajib mendengar dan taat, kerana Al-Jama’ah merupakan tali Allah yang diperintahkan untuk dipegang erat-erat.” Lalu Ibnu Mas’ud memegang tangannya dan berkata: “Sesungguhnya orang yang kamu benci dalam Al-Jama’ah itu lebih baik daripada orang yang kamu cintai tapi dia dalam firqah.”

Diriwayatkan dari Husain radhiallahu anhu bahawasanya ada orang yang mengatakan kepadanya bahawa Abu Bakar As-Shiddiq telah (dibai’at oleh para shahabat) menjadi khalifah (pengganti) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Husain berkata: “Benar, demi Zat yang tiada berhak disembah selain Dia, umat Muhammad (yakni ijma’ sahabat) ini tidak akan berkumpul di atas kesesatan!!”

Berdasarkan pendapat ini, maka yag termasuk Al-Jama’ah ialah para mujtahid, ulama, dan ahli syari’ah yang beramal dengannya. Adapun orang-orang di luar mereka, boleh dimasukkan dalam kategori ini sebab orang-orang tersebut mengikuti dan meneladani mereka. Setiap orang yang keluar dari jama’ah mereka, bererti dia telah menyimpang dan menjadi tawanan syaitan. Termasuk dalam hal ini semua ahli bid’ah, kerana mereka telah menentang para pendahulu umat ini. Sebab itu, mereka sama sekali tidak termasuk Sawadul A’zham!

Kedua: Al-Jama’ah ialah kumpulan para imam dari kalangan ulama mujtahidin. Barangsiapa keluar dari apa yang telah dipegang oleh para ulama umat ini lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah. Allah menjadikan mereka sebagai hujjah bagi seluruh alam. Mereka itulah orang-orang yang disabdakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam (yang ertinya): “Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku di atas kesesatan.” Makna “tidak berkumpul umatku” iaitu: “tidak akan berkumpul ulama umatku di atas kesesatan.” Demikian menurut pendapat Abdullah bin Mubarak, Ishaq bin Rahawaih dan sekelompok dari ulama Salaf. Para Ulama Usul juga menyatakan pendapat yang serupa.

Abdullah bin Mubarak pernah ditanya seseorang: “Siapakah Al-Jama’ah yang layak untuk dijadikan teladan?” Jawab beliau: “Abu Bakar, Umar…” (beliau terus menyebutkan satu-persatu sampai kepada Muhammad bin Tsabit dan Husain bin Waqid). Maka dikatakan: “Yang engkau sebut itu adalah orang-orang yang telah tiada, maka siapakah yang masih hidup?” Beliau menjawab: “Abu Hamzah As-Sukri.” Ishaq bin Rahawaih juga menyatakan pendapat serupa.

Dengan demikian, seorang ahli bid’ah tidak termasuk dalam Al-Jama’ah berdasarkan Ijma’. Ini kerana pada dasarnya perbuatan bid’ahnya itu bertentangan dengan ijma’.

Ketiga: Al-Jama’ah ialah para sahabat secara khusus ridhwanullah alaihim. Ini kerana merekalah yang telah menegakkan tiang-tiang agama ini. Dan mereka tidak pernah bersepakat dalam kesesatan sama sekali. Pendapat inilah yang dipegang oleh Umar bin Abdul Aziz.

Ibnu Wahab meriwayatkan dari Imam Malik bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para pengganti (Wulatul Amri) setelah baginda meninggal dunia telah membuat sunnah (tariqah). Mengambil (mengikuti) sunnah tersebut bererti tashdiq (membenarkan) terhadap Kitabullah, penyempurna ketaatan kepada Allah, dan menjadi penguat terhadap agama Allah ini. Tidak boleh seorang pun menukarnya atau merubahnya. Barangsiapa menjadikannya (As-Sunnah) sebagai petunjuk maka dia akan mendapat hidayah. Siapa saja yang menolongnya (menghidupkan As-Sunnah), dia akan ditolong. Barangsiapa yang menyelisihinya, bererti dia mengikuti selain jalan orang-orang mukmin (yakni para sahabat). Allah akan memalingkannya kemana saja dia berpaling dan memasukkannya ke dalam jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
Kemudian Imam Malik berkomentar: “Aku sangat kagum terhadap ketegasan Umar bin Abdul Aziz dalam hal itu.”

Berdasarkan pendapat inilah, lafaz Al-Jama’ah sesuai dengan riwayat yang lain, yaitu sabda Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam:

مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

“Setiap orang yang mengikuti sunnahku dan para sahabatku.” (HR. Tirmizi, HASAN)
Makna Al-Jama’ah ini juga sesuai dengan persaksian Nabi shallallahu alaihi wa sallam tentang mereka khususnya dalam sabdanya:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ

“Maka hendaklah kamu (wajib) berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa ur-rasyidin.” (HR. Abu Daud & Tirmizi; HASAN SAHIH)

Dengan demikian, setiap apa yang mereka sunnahkan maka itu merupakan sunnah yang tidak perlu ditinjau kembali. Hal ini berbeza dengan kaum selain mereka. Ini kerana pada generasi selain dari para sahabat, ada ahli ijtihad yang kemudiannya boleh ditolak ataupun diterima pendapatnya. Oleh kerana itu, ahli bid’ah jelas tidak termasuk Al-Jama’ah.

Keempat: Al-Jama’ah ialah jama’ah ahlul Islam tatkala mereka bersepakat dalam satu urusan. Maka wajib bagi umat Islam selain mereka, untuk mengikuti ijmaknya kaum muslimin ini. Mereka adalah orang-orang yang dijamin oleh Allah tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Jika terjadi perselisihan di kalangan mereka maka kita wajib mengetahui pendapat yang benar dalam masalah yang mereka perselisihkan itu.
Imam Syafi’i rahimahullah berkata: “Dalam Al-Jama’ah tidak akan terjadi kelalaian dalam memahami Kitabullah, Sunnah mahupun Qias, kerana kelalaian itu hanya terjadi di dalam firqah.”

Kelima: Pendapat yang dipilih oleh Imam Thabari iaitu bahawa Al-Jama’ah ialah Jama’atul Muslimin yang sepakat atas seorang amir (pemimpin). Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan untuk komitmen kepadanya dan melarang perpecahan umat dalam perkara kesepakatan tentang pemimpin yang telah diangkat. Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Siapa saja yang mendatangi umatku untuk memecah-belahkan jama’ah mereka, maka bunuhlah dia, walau siapapun orangnya.” (HR. Muslim XII/241 dengan Syarah Imam Nawawi).

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menukil perkataan Ibnu Jarir At-Thabari bahawa yang benar tentang maksud ucapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Hudzaifah “Berpeganglah engkau kepada Jama’atul Muslimin dan imam mereka!” ialah: “Berpeganglah kepada orang-orang yang telah sepakat (berbai’at) mengangkat seorang amir dalam ketaatan. Barangsiapa melanggar bai’atnya maka dia telah keluar dari Al-Jama’ah!” (Fathul Bari, Al-‘Asqalani XIII/37)

Imam Thabari menyatakan: “Inilah pengertian dari diperintahkannya menetapi Al-Jama’ah. Adapun Al-Jama’ah yang apabila umat telah sepakat dengan ridla untuk mengangkat seorang amir -yang jika dia keluar darinya, matinya dalam keadaan Jahiliyah- maka ini merupakan makna Al-Jama’ah yang diterangkan oleh Abu Mas’ud Al-Anshari. Mereka merupakan majoriti manusia dari ahli ilmu dan agama beserta pengikutnya. Mereka itulah Sawadul A’zham.” Selanjutnya, beliau berkata: “Adapun riwayat yang menyebutkan bahawa umatku tidak akan berkumpul di atas kesesatan, maknanya ialah Allah tidak akan mengumpulkan mereka dalam keadaan tersesat dari al-haq (kebenaran) pada hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama mereka. Jadi, Al-Jama’ah pengertiannya kembali kepada berkumpulnya ahlul Islam, untuk mengangkat seorang imam yang sesuai dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah menurut pemahaman Salafus-Soleh. Maka, jelas keliru besar orang yang mengira bahawa Al-Jama’ah adalah sekumpulan dari kebanyakan orang, padahal di dalamnya tidak ada ulama pun yang memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh para sahabat ridhwanullah alaihim ajma’in. (Al-I’tisham II/770-778, Imam Asy-Syatibi, tahqiq: Salim Al-Hilali, cet. I 1412 H, Dar Ibnu Affan).
Jadi, beberapa pendapat tentang makna Al-Jama’ah adalah sebagai berikut:

Pertama, Al-Jama’ah adalah Sawadul A’zham (kelompok manusia yang besar sekali jumlahnya).
Kedua, Al-Jama’ah ialah kumpulan para imam dari kalangan ulama mujtahidin.
Ketiga, Al-Jama’ah ialah para sahabat secara khusus ridhwanullah alaihim.
Keempat, Al-Jama’ah ialah kumpulan umat Islam tatkala mereka bersepakat dalam satu urusan.
Kelima, Al-Jama’ah ialah Jama’atul Muslimin yang sepakat atas seorang amir (pemimpin). (Lihat Syarh Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah oleh Imam Al-Laalikai, tahqiq: Dr. Ahmad Sa’ad Hamdan juz 1-2 hal.96 dan As-Sunnah oleh Ibnuu Khallal, tahqiq: Dr. ‘Athiyyah Az-Zahrani hal.74).
Itulah pendapat-pendapat penting tentang makna Al-Jama’ah yang kita diperintah untuk beriltizam (komitmen) kepadanya. Dari pendapat-pendapat tersebut, akhirnya kita dapat menarik dua kesimpulan:
1. Al-Jama’ah ialah jama’ah kaum muslimin apabila bersepakat atas seorang imam (pemimpin) berdasarkan syari’at dan kita wajib menetapi jama’ah tersebut serta haram keluar darinya.
2. Al-Jama’ah ialah setiap orang yang mengikuti sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan sunnah para sahabatnya ridhwanullah alaihim, baik sedikit mahupun banyak, sesuai dengan keadaan umat dengan beragam tempat dan masanya.
Oleh kerana itu, Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhu berkata:
الجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ
“Al-Jama’ah ialah setiap yang sesuai dengan kebenaran meskipun kamu seorang diri.” (Lihat Al-Hawadits wal Bida’ oleh Abu Syamah hal. 22. Hadits diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Al-Madkhal).
Dalam riwayat lain:
إِنَّمَا الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ طَاعَةَ اللهِ وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ
“Al-Jama’ah adalah siapa saja yang sesuai ketaatannya kepada Allah walaupun engkau bersendirian.” (Diriwayatkan oleh Al-Laalikai dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah I/109).
Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan: “Alangkah bagusnya apa yang dikatakan oleh Abu Syamah dalam kitabnya Al-Hawadits wal Bida’. Ketika datang perintah untuk berpegang dengan Al-Jama’ah, maka yang dimaksudkan dengannya adalah berpegang kepada al-haq (kebenaran) dan mengikutinya. Sebab, orang yang berpegang dengannya sangat sedikit dan yang menentangnya demikian banyaknya. Sesungguhnya yang dimaksud dengan al-haq ialah apa-apa yang difahami oleh jama’ah pertama dari kalangan para shahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. (Ighatsatul Lahfan I/80, tahqiq: Basyir Muhammad ‘Uyun).
Ibnu Khallal rahimahullah dalam kitabnya As-Sunnah berkata: “Al-Jama’ah ialah Jama’atul Muslimin, iaitu para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan ihsan sampai Hari Akhir. Mengikuti mereka merupakan hidayah sedangkan menyelisihi mereka adalah sesat, sebagaimana tersebut dalam firman Allah:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
“Barangsiapa menentang Rasul setelah jelas baginya kebenaran dan mengikuti selain jalan-jalan  mukminin (para sahabat ridhwanullah alaihim) maka Kami biarkan dia bergelimang dalam kesesatan dan Kami masukkan ke dalam Jahannam dan Jahannam itu merupakan seburuk-buruk tempat kembali.” (An-Nisa`: 115). (As-Sunnah, Abu Bakr bin Muhammad Al-Khallal, tahqiq: Dr. Athiyyah Az-Zahrani, hal. 79).


HADITS KEDUA

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ قِيْدَ شِبْرٍ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الإِسْلاَمِ مِنْ عُنُقِهِ
Makna Hadis:
Dari Abu Dzar radliyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa memisahkan diri dari Al-Jama’ah walaupun sejengkal, maka bererti dia telah melepaskan ikatan Islam dari tengkuknya.”
Takhrij Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh:
1. Abu Daud dalam Sunannya, hadis no. 4758
2. Ahmad dalam Musnadnya V/180
3. Hakim dalam kitabnya Al-Mustadrak I/117
4. Ibnu Abi ‘Ashim dalam As-Sunnah (892)
Sanad hadis ini semuanya dari jalan Khalid bin Wahban dari Abu Dzar secara marfu’ (sampai periwayatannya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, ed.)
Syaikh Salim Al-Hilali berkata: “Sanad ini dha’if (lemah) kerana Khalid adalah majhul (tidak dikenal periwayatannya, ed). Tetapi hadis ini memiliki syahid (penguat) yang SAHIH dari hadis Ibnu Abbas dan Ibnu Umar radliallahu anhuma oleh Muslim XII/240, Syarh Imam Nawawi).

HADITS KETIGA

عَنِ ابْنِ عَبَّاسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم: إِنَّ اللهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى الضَّلاَلَةِ، وَيَدُ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ
Makna Hadis:
Ibnu Abbas radliallahu ‘anhuma berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umatku di atas kesesatan. Dan tangan Allah bersama Al-Jama’ah. Barangsiapa menyimpang dari Al-Jama’ah, bererti dia menyimpang ke neraka.”
Takhrij hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh:
1. Tirmizi dalam Sunannya (2167)
2. Hakim dalam kitab Al-Mustadrak I/115
3. Ibnu Abi ‘Ashim dalam As-Sunnah (80)
Seluruhnya dari jalan Mu’tamar bin Sulaiman dari Sulaiman Al-Madani dari Abdullah bin Dinar dari Ibnu Umar secara marfu’.
Syaikh Salim berkata: “Sanadnya dha’if kerana Sulaiman Al-Madani namanya adalah Ibnu Sufyan, bekas hamba kepada keluarga Thalhah, dia orangnya lemah. Tetapi hadis ini memiliki penguat (mutaba’ah) dari jalan Marzuq, bekas hamba kepada keluarga Thalhah, dia orang yang tsiqat (terpercaya). Imam Thabrani meriwayatkannya dalam Mu’jamul Kabir. Dengan demikian hadis ini SAHIH.

HADITS KEEMPAT

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيْرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شَيْئًا فَمَاتَ، مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

Makna Hadis:
Dari Ibnu Abbas radliallahu anhuma berkata, Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa melihat sesuatu dari pemimpinnya yang tidak disukainya, maka hendaklah bersabar kerana sesungguhnya jika seseorang keluar dari Al-Jama’ah walaupun sejengkal kemudian dia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliyyah.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dengan Syarh Fathul Bari XIII/5 dan Muslim (1849).
Syarah hadis:
Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan tentang makna “matinya dalam keadaan mati jahiliyah” ialah: “Matinya seperti Ahli Jahiliyah, iaitu di atas kesesatan. Dan dia tidak memiliki imam yang ditaati kerana mereka tidak mengenalnya. Dan bukan maksudnya dia mati kafir, tapi matinya sebagai orang yang berbuat maksiat.” (Fathul Bari XIII/7).
Yang dimaksud dengan amir (pemimpin) di sini adalah memang benar-benar amir (pemimpin/penguasa), bukan “amir-amiran” (orang-orang yang berkuasa). Dan amir ini mesti memiliki negara sejati, bukan “negara boneka”. Dan negaranya mesti di atas tanah bukan negara bawah tanah.
Cukup sampai di sini saja pembahasan makna hadis-hadis tentang Al-Jama’ah. Kita berdo’a kepada Allah Azza wa Jalla agar kita senantiasa diberi petunjuk-Nya dan semoga kita tidak menyimpang dari Shirathal Mustaqim serta selalu berpegang dengan Al-Jama’ah dan terjauh dari segala firqah. Amien ya rabbal ‘alamin.
Wallahu Ta’ala A’lam.
Maraji’:
1. Shahih Bukhari dengan Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani.
2. Shahih Muslim dengan syarh Imam Nawawi.
3. Al-I’tisham oleh Asy-Syathibi, tahqiq Salim Al-Hilali.
4. Gharibul Hadits oleh Abul Faraj Al-Jauzi.
5. An-Nihayah fi Gharibil Hadits oleh Abu Sa’adat.
6. Syarh I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah oleh Al-Laalika`i, tahqiq Dr. Ahmad Sa’ad Hamdan.
7. As-Sunnah oleh Ibnu Khallal, tahqiq Dr. ‘Athiyyah Az- Zahrani.
8. Ighatsatul Lahfan oleh Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, tahqiq Basyir Muhammad ‘Uyun.
9. Tuhfatul Ahwadzi Syarh Jami’ At-Tirmidzi oleh Al-Mubarakfuri.
10. Talbis Iblis oleh Ibnul Jauzi, tahqiq Ali Hasan Al-Atsari.
Lebih baru Lebih lama